Jumaat, 19 Julai 2013

Kehidupan: Layanan Terhadap Ramadhan – Aidilfitri Yang Didahulukan

Seawal Ramadhan lagi, hatta sebelumnya, semangat Aidilfitri sudah dirasakan. Begitu juga di televisyen, radio dan sebagainya. Jika dahulu-dahulu, pertengahan Ramadhan baru kedengaran, dan kemudiannya di awal Ramadhan baru bergema, kini sebelum Ramadhan lagi sudah menggegarkan telinga. Lagu-lagu raya.

‘AidilFitri itu didahulukan, sebelum Ramadhan.
Dan kala Ramadhan, di manakah semangat seorang hamba yang memasukinya?
Perayaan Fitrah, dan Fitrah Yang Tidak Diperolehi.
Kembali kepada makna ‘AidilFitri, ia bermaksud perayaan fitrah. Meraikan manusia-manusia yang berjaya mencuci dosa mereka, yang berjaya mempertingkatkan diri mereka, sepanjang Ramadhan. Yang berjaya menyedari bahawa kehidupan yang sebenar adalah kehidupan Islam, yang berjaya memahami bahawa kehidupan yang terbaik adalah kehidupan Islam, hasil tarbiyah yang dilaluinya di dalam Ramadhan.
Akhirnya diri kembali kepada fitrahnya. Islam, kebaikan, dan merasa dekat dengan Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT sendiri gambarkan di dalam firmanNya, kala manusia masih di alam Ruh lagi:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” Surah Al-A’raf ayat 172.
Begitulah fitrahnya manusia. Mengakui bahawa Allah itu Rabb, sekaligus menjadikan Islam itu agamanya.
Namun sekiranya Ramadhan diisi dengan hiburan, drama yang melalaikan, semangat ‘AidilFitri yang lebih kepada ‘balik kampung’, ‘perayaan setahun sekali’, ‘hiburan gembira’ dan sebagainya, maka apa sebenarnya yang hendak dirayakan oleh kita?
Kerana Aidilfitri adalah perayaan fitrah. Mereka yang tidak kembali kepada fitrah, apa yang mahu dirayakan oleh mereka?

Meningkatkan Syu’ur Ramadhan.
Syu’ur, atau perasaan untuk memperhebatkan amalan di dalam Ramadhan hakikatnya boleh kita bakar, nyalakan, perhebatkan dengan pelbagai cara.
1 – Iklan-iklan akan fadhilat puasa di bulan Ramadhan, amalan-amalan dalam bulan Ramadhan.
2 – Filem atau drama berkenaan Ramadhan, maksud sebenar Ramadhan, ertinya kepada kehidupan manusia.
3 – Kelas-kelas agama, dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Masjid diperhebatkan.
4 – Pidato awam berkenaan Ramadhan diwujudkan di ruang legar shopping complex terutama pada waktu puncak.
5 – Solat Tarawih di padang-padang terbuka diperkenalkan.
6 – Tanglung Ramadhan diperkenalkan untuk digantung di rumah-rumah, meraikan Ramadhan.
7 – Radio, Televisyen, Akhbar, memperhebatkan persoalan Ramadhan, promosi makna Ramadhan, dan amalan-amalan kebaikan.
Ini kita boleh laksanakan sebenarnya. Mana yang kita mampu. Bahkan, kita boleh sebarkan penplet di pasar malam, menulis artikel-artikel di blog, update berkenaan Ramadhan di Facebook dan sebagainya. Pelbagai perkara kita boleh lakukan, bagi meningkatkan syu’ur Ramadhan.
Mengapa hendak mendahulukan ‘AidilFitri?
Kembali kepada fitrah terlebih dahulu sebelum sibuk hendak merayakan fitrah!

Ramadhan Yang Rosak, Membuahkan Kehidupan Yang Rosak.
Ramadhan adalah bulan pembinaan. Ramadhan yang rosak akan merosakkan pembinaan peribadi manusia. Sekiranya Ramadhan dilalui ibarat hari-hari biasa seperti bulan-bulan yang lainnya, maka binasalah keadaan manusia. Tiada masa dia mengeraskan dirinya dalam beramal, tiada masa dia mendisiplinkan dirinya ke tahap tertinggi dalam kehidupan. Maka bagaimana pada bulan-bulan lain? Pastinya lebih hancur.
Juteru sepatutnya kita mempertingkatkan syu’ur Ramadhan, dan memperhebatkan lagi projek peningkatan diri di dalamnya.
Usaha untuk kembalikan diri kepada fitrah, usaha agar diri diampunkan oleh Allah Ta’ala.
Ramadhan adalah ibarat kilang, yang merawat luka-luka hamba yang diperolehi sepanjang 11 bulan. Jika rosak kilang ini, maka masakan luka-luka itu akan sembuh untuk menghadapi 11 bulan lagi?
Ramadhan adalah ibarat gym, membina otot-otot keimanan dan taqwa agar menjadi lebih kuat bagi menghadapi sebelas bulan yang mendatang. Jika rosak gym ini, bagaimana kita mahu mendapat kekuatan bagi menumbangkan jahiliyyah?

Penutup: Ramadhan Kali ini, Berbezalah. AidilFitri Kali Ini, Menjadilah!
Maka mari kita bersama berusaha menggapai Ramadhan yang bermakna. Ramadhan yang jauh lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya. Ramadhan yang terbaik dalam sejarah kehidupan kita. Ramadhan yang mampu membina peribadi, akhlak, iman dan taqwa kita.
Biar AidilFitri kita tahun ini adalah yang benar-benar AidulFitri. Perayaan fitrah. Merayakan kita yang berjaya kembali kepada fitrah, menjadi hamba Allah SWT yang baik dan hidup dalam Islam yang sebenar.
Usah sia-siakan lagi Ramadhan, usah silap lagi dalam merayakan AidilFitri.
Mari sama-sama memahami, dan fikirlah jika kedua-duanya ini tidak akan datang kembali.
Ayuh, maknakan Ramadhan, dan rayakan AidilFitri dalam keadaan benar-benar layak merayakan!

Credit to: LangitIllahi.com