Arishz menyelak helaian kertas yang terkandung seribu makna yang tersirat di dalamnya sambil menitiskan air mata yang berjujuran membasahi pipinya. Kedengaran sayup bunyi ayam berkokok, memecah sepi buat seketika. Awan putih berarak membuka tirai untuk menyinari bumi dengan cahaya matahari yang terang. Arishz perlahan-perlahan menutup kitab tersebut sambil dikucupnya dan dipeluknya sebelum disimpan di dalam almari.
Langkah diatur untuk bersiap ke sekolah sebelum terlambat. Ayah memanggil Arishz dengan suara yang garau dan lantang, “Arishz, cepat sikit siap tu. Ayah nak pergi kerja ni!” Arishz menjawab dengan suara yang sayup dan perlahan, “Ye ayah, abang tengah siaplah ni.” Arishz segera mencapai beg dan kasut, lantas bergegas ke pintu. Arishz melihat wajah ayahnya tersenyum lebar sambil berkata, “Ayah saja je usik Arishz tadi. Dah cepat pakai kasut tu.” Arishz hanya mampu tersenyum dan perlahan-perlahan dia memasuki kereta. Itulah kehidupan Arishz yang hidup tanpa kasih sayang seorang ibu kerana ibunya telah lama berhijrah kealam yang lain. Itulah lumrah manusia, setiap yang hidup pasti akan mati akhirnya. Arishz hanya menagih kasih sayang seorang ayah dan adik angkatnya sebagai pengubat rindu dalam hatinya.
Setiba sahaja di sekolah, Arishz bersalam dengan ayahnya dan sempat Arishz mengucapkan, “Doakan Arishz berjaya ye ayah.” Itulah yang acapkali dilakukan oleh Arishz sebelum turun daripada kereta. Ayahnya pula menjawab, “Ayah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak ayah ini, belajar elok-elok, awak tu sakit. Jaga kesihatan.” Itulah yang terungkap di bibir ayahnya sebelum Arishz turun daripada kereta. Arishz sentiasa menganggap kata-kata ayahnya itu sebagai suatu doa yang dimakbulkan Allah.
Arishz menyusun langkah dengan rapi dan senyuman manis terukir di bibirnya ketika melangkah masuk ke sekolah dengan satu harapan iaitu untuk berjaya dalam peperiksaan SPM yang akan didudukinya. Setiap kali Arishz berselisih dengan pelajar, mereka akan memberikan salam kepada Arishz sebagai tanda saling menghormati antara satu sama lain. Arishz memang terkenal dengan sikap tegas yang ada pada dirinya kerana dia merupakan seorang Penolong Ketua Pemimpin Pelajar di sekolah itu. Setiap kali Arishz sampai ke sekolah, Arishz akan melaksanakan tugas sepertimana yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya. Tidak pernah sesekali terungkap di bibirnya, mengeluh atas segala tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
“Assalammualaikum Zaki, Arif mana? Tak nampak pun pagi ni.” Arishz bertanya sesuatu kepada seorang rakan adik angkatnya. “Oh, Arif tak sihat, dia belum balik lagi daripada rumah. Semalam masa perjumpaan dekat asrama, warden kata yang dia demam.” Segala kemusykilan yang bermain di mindanya terlerai buat seketika. Lantas Arishz menjawab dengan ucapan, “Terima kasih kerana bagi tahu dekat abang.” Perasaan Arishz tidak tenteram dan gelisah memikirkan tentang adik angkatnya yang sakit. Terdetik dalam hatinya untuk melihat adik angkatnya itu, tapi apakan daya masa yang terlalu padat tidak mengizinkannya.
Fikiran dan perasaan Arishz tidak tenang dan sering kali fikirannya melayang memikirkan keadaan adik angkatnya yang padanya seperti adiknya sendiri. Cikgu Razif menyentak lamunan Arishz, dan Arishz tersedar daripada lamunan lalu dia meminta maaf atas kesilapannya yang tidak memberikan tumpuan ketika di kelas. Loceng berdering menandakan kelas reka cipta telah tamat. Cikgu Razif yang terkenal dengan sikap ambil berat dan menyayangi anak muridnya, memanggil Arishz di luar kelas dan bertanyakan soalan, “Kamu ni kenapa? Cikgu tengok kamu ni macam ada masalah je. Kalau ada apa-apa yang serius sangat ceritalah dekat cikgu, mana tahu cikgu boleh bantu.” “Tak ada apa-apalah cikgu, tak ada yang serius sangat pun cuma masalah kecil je. Cikgu tak payah lah risau, nanti saya cuba selesaikan.” Segera Arishz menjawab pertanyaan gurunya. “Tak apalah kalau macam tu, cikgu faham tapi ingat kamu tu nak SPM tahun ni, jangan main-main sangat.” Cikgu Razif menambah. “Baiklah cikgu, saya faham. Saya mintak maaf atas kesilapan saya tadi.” Arishz membalas nasihat gurunya itu dengan nada yang perlahan dan berasa kesal atas kesilapannya tadi. Loceng yang berdering menandakan waktu rehat untuk pelajar menengah atas. Arishz bergegas turun daripada bloknya dan menuju ke surau. Wuduk diambil dengan sempurna, sejadah dicapai lalu solat sunat dhuha dilaksanakan sebagai satu sunnah yang digalakkan.
Selesai solat sunat dua rakaat dilaksanakan, doa dipanjat kepada Ilahi memohon ketenangan dalam diri. Seusai doa selesai dibaca hati meruntun kesedihan dan sebak apabila teringatkan adik angkat yang amat dia sayangi terlantar sakit. Arishz mengambil sebuah kitab yang mengandungi makna yang tersurat dan didalamnya mempunyai keajaiban yang luar biasa. Dalam kesedihan Arishz cuba membaca kitab teragung itu, dan akhirnya Arishz berjaya menemui ketenangan yang diimpikan. Selesai tamat kitab dibaca, Arishz peluk dan kucupnya seperti mana kebiasaan yang telah dilakukan.
Arishz beredar dari surau dengan hati yang tenang dan senyuman diukir manis, segala keresahan yang melanda dalam hati telah hilang. Memang benar apa yang dikatakan oleh ustaz sebelum ini bahawa dengan membaca dan menghayati kalam yang hebat ini hati akan tenang, terdetik dalam hati Arishz sambil tangannya mengelap air mata yang mengalir dipipinya tadi. Setiba sahaja dikelas, tiada sesiapa yang mengendahkannya masuk melainkan kawan rapatnya bertanya, “Engkau sihat tak ni, kenapa tadi tiba-tiba engkau hilang fokus dalam kelas?”Syami bertanyakan kepada Arishz sambil tangannya menepuk-nepuk bahu Arishz. “Aku tak ada apa-apalah, cuma ada masalah sikit je. Tapi apa-apa pun terima kasihlah sebab ambik berat pasal aku.” “Tu tak jadi masalah, bukan ke Rasulullah SAW pernah berkata, “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudara sesama Islam.” Bukan ke macam tu Ya Ustaz?, Syahmi cuba mengusik Arishz. Mereka bersama-sama membawa buku menuju ke makmal sambil tersenyum lebar akan kata-kata Syahmi tadi.
Tepat jam 2.00 petang sesi persekolahan tamat, Arishz mencari-cari Zaki seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan. Akhirnya Zaki melintasi dihadapannya dan terdengar suara teriakan Arishz memanggil Zaki. “Zaki! Zaki! Mari sini kejap!”sayup kedengaran suara Arishz memanggil Zaki. “Ye abang?” Zaki macam seolah-olah terkejut dan reaksi mukanya yang seperti berasa bersalah. “Abang, nak mintak tolong sikitlah. Bolehkan? Nanti kalau Arif dah balik, bagi tahu dekat abang ye? Sampaikan salam abang dekat dia.”segera Arishz bercakap dengannya dalam nada yang tergesa-gesa. Zaki akhirnya tersenyum lebar sambil tangan dihulur bersalam dengan Arishz. “Baiklah abang, nanti saya sampaikan kalau Arif dah balik nanti.”tambah Zaki lagi. “Terima kasih kerana sanggup tolong abang. Baiklah Zaki, abang nak balik dulu ni, ayah abang dah tunggu.” Arishz berlari tergesa-gesa menuju ke pagar.
“Kenapa lambat hari ini Arishz?”ayah bertanya kepada Arishz tanda kehairanan. “Maafkan abang, ayah. Abang jumpa kawan Arif tadi, tu yang lambat sikit. Arif belum balik asrama lagi, dia demam.”Arishz cuba menyakinkan ayahnya dengan jawapannya. Arishz tersenyum kepada ayahnya lalu mencapai tali pinggang keledar untuk dipakainya. Ayahnya hanya diam dan membalas senyuman Arishz tadi. Kereta ayahnya berlalu pergi dari situ.
Tiba sahaja dirumah, ayahnya meminta Arishz bersiap segera kerana ayahnya ingin membawanya keluar untuk minum petang. Itulah sifat ayahnya yang seorang penyayang walaupun telah lama kematian isteri tetapi dia tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sebaik yang mungkin. Sementara menunggu Arishz solat dan mempersiapkan diri untuk keluar minum petang, sempat ayahnya mengemas rumah dahulu. Tidak ketinggalan rutin harian Arishz seperti biasa membaca kalam yang terkandung pelbagai makna yang tersirat di dalamnya kerana itulah teman akrab Arishz kala hati memerlukan teman untuk berbicara, meluahkan segala yang terpendam dalam benak fikiran yang menimbulkan pelbagai persoalan dalam pemikirannya. Selesai kalam dialun merdu, kitab ditutup perlahan-perlahan lalu disimpan rapi didalam almari. Arishz segera mempersiapkan diri lantas segera kaki melangkah di muka pintu lalu mengusik ayahnya, “Ayah, Arishz dah siap ni. Perut pun mula bernyanyi. Jomlah kita pergi makan. Kerja tu tinggalkan dulu lah. Ayah kan baru balik dari kerja, letih tu tak hilang lagi.”pujuk Arishz lembut sambil tangannya mengurut bahu ayahnya perlahan.
“Yelah anak ayah seorang ini. Dah jomlah kita gerak sekarang. Petang nanti ada tuisyen takut lambat nanti.”perlahan-perlahan ayahnya menarik tangan Arishz mesra, lalu masuk ke dalam kereta. Selesai sahaja minum petang di sebuah kedai yang berhampiran dengan rumahnya, ayah segera menghantar Arishz ke pusat tuisyen itu. Tempat Arishz tuisyen tidaklah terlalu jauh, hanya terletak di sekitar taman itu juga. Tiba sahaja di rumah tempat Arishz mempelajari ilmu dan memperlengkapkan diri sebelum menghadapi SPM, matanya sentiasa tertumpu kepada sebuah kitab yang cantik dan jika dipandang maka tertariklah hati untuk menyelami makna disebaliknya. Tapi fikiran Arishz terganggu dan keliru kerana kitab yang begitu ulung itu hanya dibuat sebagai perhiasan diruang tamu tanpa ada sesiapa yang membaca apatah lagi mahu menyelami makna tersiratnya. Kitab itu dibiarkan sendirian disitu tanpa mempunyai teman untuk bicara. Tika Arishz berdiri tercegat dihadapan kitab itu, dilihatnya kitab itu berhabuk dan penuh dengan debu.
Terdetik dihati Arishz, “Alangkah sedihnya engkau wahai kitab kerana tidak mempunyai teman untuk berbicara dan hanya dibiarkan engkau bersendirian disini tanpa dibaca oleh sesiapa. Adakah guruku ini tidak menyedari kehebatan kalam yang terkandung dalam kitab ini yang mana diturunkan oleh Allah melalui perantaraan malaikat Jibrail kepada Rasulullah SAW selama beberapa tahun? Ayat yang pertama diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat manusia ialah ‘IQRA’ yang bermaksud bacalah tapi mengapa masih ada umat yang malas membaca? Kata ingin Islam maju tapi malas baca buku, kita sudahlah kurang ilmu, masih ada umat yang jahil dan buntu, nak baca kalam yang agung disuruh tunggu, hanya dibaca kala nak halau hantu itupun jika terdesak sangat tu.” Bermonolog sebentar Arishz dihadapan kitab agung itu dan tanpa Arishz sedari gelagatnya diperhatikan oleh guru tuisyen itu tika saat dia mula berdiri disitu.
“Assaalamualaikum!”sapa gurunya. “Waalaikummussalam, cikgu. Terperanjat saya.”balas Arishz dengan mesra. “Maafkan cikgu, lama kamu berdiri dihadapan kitab ini? Apa yang kamu fikirkan?”tanda hairan yang membelenggu fikiran gurunya. “Oh, saya hanya merenung kembali peristiwa kitab ini diturunkan kepada Rasulullah SAW. Kitab ini teringatkan saya kepada memori saya bersama dengan arwah ibu saya dahulu. Masa itu saya masih budak-budak lagi, ibu saya selalu ingatkan saya agar sentiasa membaca kitab agung ini kala susah mahupun senang kerana dia diturunkan sebagai panduan dan pegangan dalam hidup kita untuk kita membacanya. Jadi kita mestilah sentiasa berbicara dengannya. Itulah pesan arwah ibu saya sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir.”jelas Arishz dengan panjang lebar dalam keadaan intonasinya lemah-lembut ketika bertutur dengan gurunya. “Oh, barulah cikgu faham. Maafkan cikgu, jika cikgu mengganggu kamu tadi. Beruntung ibu kamu dapat seorang anak seperti kamu yang amat memahami tentang Islam itu. Sedar tak sedar, sudah lama kita berbual. Jom kita mulakan kelas, kawan kamu yang lain dah sampai.”tambah gurunya lagi. Perbualan mereka terhenti disitu dan kelas tuisyen diteruskan seperti biasa.
Tepat jam 6.00 petang, kelas tuisyen itupun tamat. Sebelum Arishz keluar daripada rumah gurunya, sempat gurunya memanggil Arishz dan mohon Arishz tunggu sebentar. “Maafkan cikgu, Arishz. Cikgu nak bertanya sedikit dengan kamu tentang sesuatu perkara. Boleh ke?”,soal cikgu mulakan perbualan. “Boleh sahaja, mana yang mampu saya jawab. Saya akan cuba jawab dengan sebaik mungkin dan kalau saya tersilap kata, saya memohon seribu kemaafan daripada cikgu kerana saya juga masih belajar lagi dan sentiasa menagihkan ilmu untuk dipelajari.”jawab Arishz dengan senyuman terukir dibibirnya. “Baiklah, cikgu ingin bertanyakan kepada kamu. Apakah salah jika cikgu meletakkan kitab ini dihadapan ruang tamu?”soal guru kepada Arishz. “Tidak menjadi kesilapan cikgu tapi yang menjadi salahnya apabila kita meletakkan kitab ini disini dengan niat sebagai barang perhiasan. Itulah yang menjadi kesilapan kepada kita kerana kitab ini diturunkan untuk dibaca bukan setakat dibuat perhiasan. Apatah lagi, jika kita adakan majlis di dalam rumah yang mana dihadiri oleh ramai orang dan kitab ini terletak rapi disini tanpa dialihkan. Tidak mustahil, dalam kalangan tetamu kita itu ada yang perlakukan pelbagai aksi yang tertentu dan kadang-kadang gelak secara melampau. Manakala kitab ini seperti kamera yang hanya memerhati dan tidak dapat berbuat apa-apa. Itulah analogi mudah yang dapat saya berikan. Setiap manusia itu amat pantang sekali jika dirinya tidak dihormati kerana itu lumrah manusia tapi, pernahkah kita terfikir kitab ini juga perlu dihormati seperti manusia kerana dia juga ciptaan Allah SWT yang lagi hebat daripada kita?”Arishz cuba menjelaskan dengan panjang lebar kepada gurunya dengan tidak melebihi batas-batas antara guru dan murid.
“Baiklah, baru cikgu faham. Terima kasih sangat Arishz kerana menyedarkan cikgu dan memberikan sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada cikgu. Cikgu tidak pernah menjumpai seorang pelajar seperti kamu selama mana cikgu bergelar seorang pendidik ini. Walaupun cikgu pernah belajar diluar Negara selama 5 tahun tapi cikgu masih rasa kurang ilmu dari aspek agama ni. Amat beruntung ayah dan ibu kamu dapat seorang anak yang baik seperti kamu. Cikgu sentiasa mendoakan kejayaan kamu dunia dan akhirat. Cikgu teringat cerita Imam Syafie dan Imam Malik yang mana Imam Syafie mempelajari ilmu daripada Imam Malik tapi pada suatu masa yang lama ketika Imam Syafie mengkaji ilmunya dengan Imam Malik dan ada pendapat yang bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW maka dengan berani Imam Syafie mengemukakan pendapat dan Imam Malik boleh terima dengan hati yang terbuka dan tenang. Malah, Imam Malik sendiri mengakui kehebatan dan kebijaksanaan Imam Syafie. Jelas, menunjukkan kadang-kadang walaupun kita lebih berumur dan makan garam kita sendiri tidak bisa lari dengan dosa dan kesilapan yang kita lakukan.”penjelasan yang panjang lebar daripada gurunya. “Sentiasa tidak cukup ilmu, adalah rasa orang yang berilmu. Tidak begitu cikgu?”usik Arishz.
“Assalammualaikum!” perbualan mereka terhenti sebentar. “Waalaikummussalam”, silakan masuk. “Dengar suara seperti ayah saya tu cikgu.”jelas Arishz. “Kelas belum habis lagi ke cikgu? Saya mengganggu ke?”ayah Arishz bertanya. “Kelas dah lama tamat cuma saya dengan Arishz ada perbincangan sikit tadi. Encik Zahafiz tidak mengganggu pun. Kami berbual kosong je tadi.“jelas guru kepada ayahnya. “Suami cikgu belum balik daripada kursus?soal ayah. “Oh, belum lagi. Dia kursus sebulan dekat Turki. InsyaAllah minggu depan baliklah.”tambah gurunya. “Saya mintak diri dulu lah cikgu. Tak manis pula nanti kalau orang pandang. Jom Arishz kita balik. Lagipun dah dekat Maghrib ni.”ajak ayah. “Saya balik dulu cikgu. Doakan saya berjaya dan redhakanlah segala ilmu yang diberikan kepada saya.” Arishz menambah. “Cikgu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kamu.”jawab cikgu sambil tersenyum.
“Macam mana tadi Arishz? Banyak tak kamu belajar?”tanya ayah kepada Arishz. “Alhamdulillah, banyak juga Arishz dapat daripada cikgu Shuhaila tadi.”jawab Arishz. “Baguslah kalau macam tu. Ayah doakan yang terbaik untuk Arishz tapi ingat jangan terlalu stres sangat bila belajar tu, awak tu tak berapa sihat. Ingat pesanan doktor tu. Makan ubat dan jangan terlalu stres nanti melarat pula sakit Arishz tu.”tambah ayah. “Baiklah ayah, Arishz faham.”jawab Arishz.
Arishz mempersiapkan diri untuk solat Maghrib berjemaah dengan ayahnya dan di susuli pula dengan solat Isyak. Itulah kebiasaan dua beranak ini. Laungan azan yang berkumandang di radio menandakan solat fardu Maghrib telah masuk. Selesai azan tamat. Solat sunat dua rakaat didirikan sebelum solat fardu dilaksanakan. Arishz melaungkan iqamat dan seterusnya ayahnya menjadi imam solat. Kala suara ayahnya sayup membaca doa, Arishz cuba memahami makna disebalik doa tersebut dan menghayatinya dengan penuh rasa rendah diri memohon kepada Rabbul Izzati agar doa diterima Ilahi.
Hari demi hari berlalu, perasaan rindu Arishz kepada Arif semakin dapat dirasakannya kerana dialah teman, tempat Arishz meluahkan segalanya dan dialah pembakar semangat dalam diri Arishz. Kala diri memerlukan seorang teman untuk berkongsi suka dan duka, Arif setia berada disisinya walaupun dalam apa jua keadaan. Tambahan lagi, bila Arishz sejak kebelakangan ini kesihatannya yang tidak menentu. Arif masih belum pulang ke asrama lagi, hampir seminggu Arishz tidak berjumpa dengan Arif. Acapkali Arishz bertanyakan khabar berita kepada rakan-rakan sekelasnya.
Tika Arishz melangkah masuk ke sekolah pada hari Isnin, Arishz mencari-cari Arif dan pada hari itu, Arishz datang awal ke sekolah untuk melihat adik kesayangannya itu. Arishz berasa amat bersyukur apabila adiknya itu sudah kembali seperti biasa. Arishz memulakan perbualan, “Assalammualaikum, Arif!”. “Waalaikummussalam!”Arif menjawab. “Arif dah sihat? Lama tak datang sekolah?”,Arishz bertanya seperti mencari jawapan. “Saya demam hari itu, tu yang lama tak datang sekolah.”jawab Arif dengan nada perlahan. “Yelah, abang faham tapi bila Arif tak ada, abang rasa sunyi sangat. Tak ada lagi tempat abang nak berkongsi cerita.”jelas Arishz sambil mereka bersama-sama menuju ke tapak perhimpunan.
Melihat Arif telah kembali semula ke sekolah dan sihat seperti sediakala. Arishz duduk di suatu sudut bersendirian sambil bersyukur ke hadrat Ilahi kerana adiknya telah sihat dan mampu untuk meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu. Rasa sebak dan rindu di hati terubat seketika tapi air mata yang ingin mengalir tidak dapat ditahannya lagi lalu segera Arishz menuju ke surau untuk mencari ketenangan. Seperti biasa yang dilakukan oleh Arishz sebelum membaca kalam yang indah dia akan melaksanakan solat sunat dua rakaat. Setelah ketenangan yang dicari telah dirasai olehnya, tapi rindu yang terpendam dalam hatinya masih tidak terubat.
Arishz cuba mencari masa untuk bersama dengan Arif walaupun hanya seketika tapi batasan waktu dan tanggungjawab yang dipikul membataskan segalanya. Tapi Allah itu Maha Mengetahui akan isi hati hambanya. Tanggal 3 Ogos 2009, tepat jam 4.57 petang, Arishz dapat bersama dengan Arif disuatu sudut penjuru sekolah dengan ditemani oleh rakan karibnya. Arishz meluahkan perasaannya kepada adiknya selama Arif tidak hadir ke sekolah. Senyuman yang terukir dibibir Arishz menandakan kerinduan yang terpendam selama ini telah terubat. Agak lama juga Arishz dan Arif berkongsi cerita dan bertukar pandangan. Jika dibentangkan lautan itu, ibarat kasih sayangnya kepada Arif, jika berguguran dedaunan pepohon, umpama air mata yang merindui kasih seorang adik. Itulah anologi yang mudah untuk menggambarkan kasihnya kepada adiknya walaupun Arif hanya adik angkatnya.
Saban hari telah berlalu, ukhwah yang dibina antara seorang abang dan adik semakin erat. Tapi malangnya, kesihatan Arishz semakin teruk dan kritikal. Arif selalu menemaninya tika dia memerlukan bantuan ketika Arishz berada di sekolah. Pada suatu malam yang dingin, angin malam bertiup perlahan, bulan terang menerangi bumi dan bintang-bintang bersinar berkelipan di angkasa. Terlihat di suatu sudut, Arishz sedang membaca sebuah kalam yang begitu indah, nafasnya yang terhenti-henti, badannya menggigil kesejukan dan mukanya pucat kelesuan tidak mematahkan semangatnya untuk terus membaca dan memahami setiap kalam yang dilafazkannya.
Tika itu jam menunjukkan 3.07 pagi, Arishz bersendirian di atas tikar sejadah sedang bermunajat kepada Ilahi memohon kesejahteraan di dunia dan akhirat serta memohon segala kesilapan yang telah dilakukan selama bergelar seorang khalifah di muka bumi Allah ini diampunkan. Ayahnya sedang nyenyak tidur disebabkan keletihan bekerja pada sebelah petang. Tangan Arishz tidak lekang memegang perutnya sebelah kanan kerana Arishz menghidap penyakit ‘appendiks’ dalam bahasa saintifiknya, kesakitan yang dialami tidak pernah sesiapa yang mengerti. Sudah berkali-kali doktor mengingatkan kepada Arishz agar jangan terlalu tertekan kerana akan mengakibatkan sakitnya lebih teruk.
Air matanya berjujuran membasahi pipi, kesakitan yang dialaminya semakin ketara. Lidahnya masih membaca kalam tersebut tanpa sebarang kesalahan tajwid. Akhirnya, Arishz menghembuskan nafasnya terakhir tepat jam 4.37 pagi bersamaan 1 Ramadhan 1430 H tanpa sesiapa disisinya melainkan ditemani sebuah kitab suci yang bernama Al-Quran yang terkandung sebuah kalam yang begitu indah. Ayahnya terkejut apabila sedar daripada tidur melihat Arishz terbaring di tikar sejadah bersama pelukan Al-Quran pada dadanya. Ayahnya tidak dapat menahan sebak dan sedih atas kehilangan anak tunggalnya. Segera ayahnya menelefon ahli keluarga untuk memaklumkan pemergian Arishz.
Tika Arishz terbaring kaku bersama pelukan Al-Quran, disisinya terdapat sepucuk surat untuk adik kesayangannya. Antara isi kandungan tersebut seperti:
Assalammualaikum,
Arif? Abang mohon maaf sangat kalau selama ini abang ada buat salah dekat Arif secara sengaja mahupun tidak sengaja. Halalkan makan dan minum abang selama ini. Terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai abang angkat Arif. Abang tahu, abang tidaklah sebaik mana pun untuk menjaga Arif. Abang tidak layak untuk Arif sebenarnya. Jika saat ini, Arif sedang membaca surat ini, maka abang telah pergi jauh daripada semua orang, berhijrah ke alam lain sebagai perhentian sebelum menuju ke Masyhar. Janganlah menitiskan air mata walaupun setitik kerana abang tidak mahu melihat orang kesayangan abang sedih disebabkan abang tapi senyum dan gembiralah kerana beban seperti abang ini telah pergi buat selamanya. Redhakanlah pemergian abang ini, janganlah sekali-kali Arif berhenti berjuang dalam menegakkan agama Allah ini. Pertingkatkan ilmu pengetahuan Arif, hormatilah ibubapa, guru-guru, orang tua dan sesiapa sahaja, ingat Allah, lakukan segala yang diperintahkan Allah dan tinggalkan segala yang dilarang dan jagalah hubungan sesama manusia. Jangan sesekali Arif putuskan ukhwah yang telah dibina selama ini. Semaikanlah dia dengan benih kasih sayang antara satu sama lain. Itu sahaja harapan abang. Dan ambillah kitab ini sebagai hadiah yang terakhir buat Arif daripada abang.
Kenangku dalam doamu,,
Yang amat menyayangimu,
Arishz
Surat tadi dibaca oleh ayahnya, dan kemudian ayahnya menyerahkan kepada Arif ketika ayahnya berjumpa pihak sekolah untuk menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil sebagai mengenang pemergian Arishz.
TAMAT