Sabtu, 18 Februari 2012

Ayuh, berperang dengan DOSA


Angkatlah senjata, untuk memerangi dosa-dosa dalam kehidupan kita
Apabila kita katakan, yang kita hendak mendekati ALLAH S.W.T., hakikatnya kita telah mengisytiharkan perang terhadap segala bentuk dosa dan maksiat.
Imam As-Syafie pernah berkata,
Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap
Jika ilmu itu dianggap cahaya, dan ianya tidak memasuki hati yang gelap, apa lagi rahmat ALLAH yang
pastinya lebih tinggi dan mulia dari ilmu. Malah, sebenarnya, kefahaman kita untuk mendekati ALLAH
itu juga adalah ilmu.

Memang, jika kita perhatikan, apabila hidup kita ini bergelumang dengan dosa, maka kita akan menjadi
sukar untuk mendapatkan sesuatu atau melakukan sesuatu. Malah mungkin, apabila kita melakukan
dosa dan maksiat, kita tidak mampu melakukan perkara yang biasanya kita boleh lakukan. Kekuatan
kita seakan-akan terhijab apabila kita melakukan dosa.

Kenapa?

Dosa pada hakikatnya akan menubuhkan satu bintik hitam di dalam hati kita. Saya jadi teringat dengan
satu kata-kata, saya tidak pasti ia adalah hadith ataupun kata-kata ulama, tetapi kata-kata itu berbunyi
begini,
Dosa itu akan menghitamkan hati. Apabila manusia itu melakukan satu dosa, maka akan tumbuh satu bintik hitam pada hatinya

Maka, jika kita berterusan melakukan dosa, tidakkah hati kita akan jadi semakin hitam?
Sesungguhnya hati itu terbahagi kepada tiga.
1. Hati yang hidup.
2. Hati yang sakit.
3. Hati yang mati.

Ketiga-tiga jenis hati ini, kita perlulah memberikan perhatian yang penuh. Jika kita sering melazimi
dosa, dan tidak berusaha menjauhinya, maka hati kita akan jatuh pada peringkat hati yang sakit. Pada
peringkat hati yang sakit ini, anda akan lihat diri anda rasa berat untuk beramal, anda mula rasa enak
dengan dosa yang anda lakukan, dan anda mula perhatikan yang diri anda jauh dari ALLAH. Jika pada
peringkat ini anda masih tidak sedarkan diri dan berusaha untuk berperang dengan dosa, dan berusaha
kembali untuk mendekati ALLAH, maka hati anda akan terus menghitam dan jatuh pada hati yang
mati. Adakah manusia di dalam alam ini, yang mati kemudian hidup kembali? Maka seorang mumin
akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga hatinya. Kerana hatinya adalah raja kepada
seluruh tubuhnya.

Rasulullah S.A.W. bersabda,
Di dalam tubuh manusia itu, terdapat segumpal daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuhnya, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh tubuhnya, maka ketahuilah bahawa segumpaldaging itu adalah hati - Al-Hadith.

Mendekati Raja Segala Raja, Pencipta Segala Pencipta, ILAH dan RABB kepada seluruh alam semesta, kita hendak atau tidak hendak, perlu mengistiharkan perang dengan dosa. Jika pada saat ini, diri kita
masih dibelenggu dengan dosa-dosa yang kita suka lakukan, atau sudah terbiasa lakukan, maka kita perlu
berusaha menjauhinya dengan gerak tindakan yang konsisten.

Tiada manusia yang boleh berubah serta-merta, tetapi semua manusia perlu bergerak dan berusaha un-
tuk berubah. ALLAH itu Maha Penyayang. DIA tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya yang
mendekatiNya.
Sesungguhnya ALLAH sukakan orang yang sering bertaubat dan orang yang membersihkan diri Surah Al-Baqarah ayat 222.

Kita sebagai anak Adam pastinya akan melakukan banyak dosa, tetapi sebaik-baik pelaku dosa adalah
orang yang sering bertaubat.

Mari kita isytiharkan perang terhadap dosa-dosa kita. Mendekati ALLAH Yang Maha Besar, dan men-
dapatkan Syurga Yang Selama-lamanya itu lebih besar dari keseronokan dosa kita yang sementara. Maka
mari kita berusaha bersama-sama.

Ya, bersama-sama. Anda dan saya.
Kita sama-sama berperang, meningkatkan diri, meninggalkan dosa, mendekati ILLAHI.
Susah?
Ah.. itu perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Jangan jadikan susah sebagai alasan. Balasannya adalah
syurga! Saya ulang, Syurga! Yang luasnya melebihi langit dan bumi, yang segala berkenaan denganya
tidak dapat kita bayangkan dengan fikiran kita. Tambahan, syurga itu, di dalamnya kita kekal abadi.

Apakah susah dalam memerangi dosa ini dapat kita bandingkan dengan Syurga itu?

Marilah kita duduk sebentar, berfikir, bermuhasabah, dan mengoreksi diri.

bersama puisi untuk kita renungi:

Aku hamba berdosa
Semalam aku berjanji
Hari ini aku mungkiri
Sampai taubat malu untuk ku ulangi
Hingga ku takut menjengah esok pagi
Kerana rasa berdosa yang wujud dalam jiwa ini
Aku hamba berdosa
Tertanggung berjuta di pundak
Malu untuk mengangkat wajah
Dikerunyuk pengkhianatan diri
Dengan keimanan yang melemah
Apakah wujud jalan kembali?
Wahai Rahman
Ya Rabbi
Wahai Ghafur
Ya Ilahi
Kebuntuan dalam sendiri
Namun dosa-dosa ini
Bukan tanda cintaku padaMu palsu
Tinggal aku hamba berdosa
Yang lemah dan tak lagi berdaya

0 comments: