Jumaat, 26 Oktober 2012

Menulusuri kisah pengorbanan Ibrahim



Aidiladha, Aidiladha. Setiap tahun ada Aidiladha. Tetapi apakah yang kita nampak pada Aidiladha?

Nama lain bagi Aidiladha adalah Hari Raya Korban. Ya, korban. Sebut sahaja Adiladha, orang akan
nampak korban. Suka saya bertanya, korban apakah yang kita nampak?

Biasanya, orang akan menjawab kepada saya, korban kambing, lembu.
Adakah Aidiladha ini, hanya untuk kita memerhatikan korban yang itu?

Pernahkah kita melihat ke dalam diri, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Allah SWT?

Maka di sini, suka saya hendak mengajak diri saya dan pembaca, untuk kita menjejak satu keluarga.
Oh, ini bukan slot Bersamamu. Keluarga ini telah lama tiada. Tetapi masih hidup di dalam jiwa-jiwa
manusia yang beriman. Yang telah menunjukkan pengorbanan yang tinggi kepada Allah SWT.
Mari kita menjejak Keluarga Ibrahim AS.
Apa yang berlaku pada keluarga itu?

Ibrahim AS telah membawa isterinya Hajar dan anaknya yang baru lahir bernama Ismail, ke satu lembah
gersang di tengah padang pasir yang dikelilingi gunung ganang. Di situ, dia meninggalkan kedua-duanya.
Ini ditunjukkan dalam rman Allah SWT berkenaan doa Ibrahim As:
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur." Surah Ibrahim ayat 37.
Ibrahim AS kemudiannya kembali kepada isterinya Sarah di Palestin.

Di sini kita dapat melihat bahawa, Ismail AS tidak membesar bersama-sama bapanya Ibrahim AS.
Yang menjaganya, bersabung nyawa memastikan penerusan kehidupannya, adalah ibunya Hajar. Namun
apakah Hajar kecewa? Merasa tidak berguna dan sebagainya?
Kita akan perhatikan nanti.

Ibrahim AS meninggalkan mereka di lembah gersang itu, adalah sebahagian daripada aturan Allah SWT
untuk sesuatu yang besar pada masa hadapan. Dan di sini, Ibrahim AS telah melakukan satu pengorbanan yang besar dengan meninggalkan anak dan isterinya di satu tanah yang gersang, tiada sumber air dan makanan.

Namun keimanannya kepada Allah SWT, keyakinan bahawa perintah Allah tidak akan menghasilkan
sia-sia, membuatkan dia tabah meninggalkan isteri dan anaknya.
Ini pengorbanan yang pertama.

Ujian datang lagi buat keluarga itu. Selepas berlalu beberapa waktu, Nabi Ibrahim AS bermimpi bahawa dia menyembelih anaknya Ismail.

Mimpi para Nabi bukanlah mimpi sebagaimana kita. Mimpi para Nabi adalah wahyu daripada Allah
SWT.

Mendapat arahan itu, Nabi Ibrahim bergerak merentas padang pasir, daripada Palestin ke Makkah di
Tanah Hijaz. Perjalanan yang bukannya pendek. Juga tidak mudah. Semata-mata untuk taat kepada
Allah SWT, menyembelih anaknya sendiri.

Sampai sahaja di Makkah, kepada Ismail dia bertanya. Dan lihatlah apa yang Allah kisahkan akan jawapan
seorang Ismail AS:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka kirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar" Surah Assa at ayat 102.
Ismail AS juga taat tanpa banyak bicara. Tanpa berdalih. Tanpa memberikan apa-apa alasan untuk
meragukan ayahnya agar tidak melaksanakan perintah itu. Sedangkan, nyawanya adalah taruhan dalam
hal ini.

Maka Ibrahim AS pun melaksanakannya. Namun apabila pisau yang tajam itu dilalukan pada leher
Ismail AS, ia tidak mampu menyembelihnya. Menyangkanya tumpul, maka Ibrahim AS mengasahnya
semula dan melakukan penyembelihan itu sekali lagi. Namun tetap gagal. Sekali lagi Ibrahim AS mengasahnya.

Namun untuk kali ketiga, penyembelihan tetap gagal dilakukan.
Ketika inilah Allah SWT mengiktiraf ketaatan keluarga itu. Dan menggantikan Ismail AS dengan seekor
Qibasy.
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami
membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;" Surah Assa at ayat 103-107.
Dan ketaatan Ibrahim AS ini diiktiraf oleh Allah SWT, Ibrahim AS diangkat setinggi-tinggi darjat,
bahkan dia dipuji oleh langit dan bumi. Ibrahim AS terkenal sebagai bapa para nabi, juga menjadi
rebutan oleh kaum yahudi dan nasrani yang hendak menyatakan bahawa Ibrahim AS daripada kalangan
mereka.
"Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan
menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri." Surah Assa at ayat 108-113.
Apa yang ditunjukkan pada kisah keluarga ini?
Pengorbanan. Mengorbankan apa yang diri kita sayangi, untuk mentaati perintah Allah SWT. Itu yang saya hendak fokuskan dalam kisah keluarga Ibrahim. Mari kita lihat dengan lebih teliti, agar kita lebih
merasai.

Pengorbanan pertama: Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di tanah gersang. Siapakah yang
senang dengan keadaan demikian? Sebagai manusia, Nabi Ibrahim juga berat melakukannya. Namun
itu adalah perintah Allah SWT, maka Nabi Ibrahim mengorbankan perasaannya, kepentinganya, kesenangannya, kerana yakin bahawa, tiadalah daripada perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia.

Pengorbanan kedua: Nabi Ibrahim sanggup merentas padang pasir daripada Palestin ke Makkah, satu
perjalanan yang jauh, untuk menyembelih anaknya. Sekiranya kita lihat semula, apakah itu? Bersusah
payah merentas padang pasir panas, yang jauh, yang sukar, semata-mata untuk menyembelih anak
sendiri? Tetapi Nabi Ibrahim melaksanakannya. Padang pasir yang panas, perjalanan yang jauh, menjadi
kecil padanya dalam mentaati Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa, tiadalah daripada mentaati
Allah itu, selain kebaikan sahaja.

Pengorbanan ketiga: Melihat di sisi Ismail AS pula, anak itu tidak berdalih langsung semasa dinyatakan
berkenaan penyembelihannya. Bahkan dia taat, dan menyuruh Ibrahim AS mentaatinya. Mengapa?
Mengapa begitu sekali gaya Ismail AS? Hingga sanggup mengorbankan diri sendiri? Kerana itu adalah
perintah Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa Allah tidak akan mengarahkan sesuatu yang sia-sia,
maka dia sanggup mengorbankan dirinya untuk mentaati Allah SWT.

Pengorbanan keempat: Satu watak yang tersembunyi dalam kisah ini adalah Hajar. Adakah Ismail AS
itu, terbentuk taat begitu sahaja secara tiba-tiba? Tidak. Pastinya ada didikan yang membentuk Ismail
menjadi sedemikian rupa. Itulah dia didikan tangan seorang Hajar. Bayangkan, Hajar, seorang isteri
yang ditinggalkan di tanah gersang, dan dialah yang membesarkan Ismail. Namun, dia tidak membesarkan
Ismail menjadi seorang yang membenci bapanya, bahkan membesarkan Ismail menjadi orang yang
amat taat kepada Allah SWT. Ini menandakan Hajar rela dengan segala apa yang dilakukan Ibrahim
AS. Kerana apa? Kerana Hajar tahu, bahawa Ibrahim AS mentaati Allah SWT. Dan Hajar mengetahui
bahawa, mentaati Allah SWT tidaka akn emmberikan apa-apa melainkan kemuliaan.

Pengorbanan kelima: Ibrahim AS benar-benar menyembelih Ismail AS. Dan Ismail AS tidak menunjukkan
pelarian di situ. Mereka benar-benar melaksanakannya. Bahkan bersungguh-sungguh dalam
mentaati perintah Allah SWT yang satu itu. Mengenepikan segala kepentingan diri, kesenangan hati
dan kehendak peribadi. Semuanya untuk mentaati Allah SWT. Mereka melaksanakannya, semampu diri
mereka. Bersungguh-sungguh.
Lima pengorbanan ini, kita perhatikan semula.
Semua ini didirikan atas apa?
Atas satu perkara. Ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanakah kita boleh taat kepada Allah SWT?

Dengan keimanan kepadaNya.

Kekuatan untuk mampu berkorban hakikatnya, bergantung kepada keimanan kita kepada Allah SWT.

Keimanan kita kepada Allah SWT itulah yang memprodus kekuatan untu mengangkat perintahNya menjadi
sesuatu yang besar dalam kehidupan kita melebihi kepentingan diri kita sendiri..
Inilah yang Allah mahu kita lihat, dan Aidiladha itu bukan semata-mata perayaan.
Tetapi ia seakan-akan satu peringatan tahunan.
"Apakah kamu wahai hamba-hambaKu, sudah bersedia untuk mengorbankan hawa nafsumu?" Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam?
Satu soalan mudah. Bagaimana kita menjawabnya?
Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam dalam kehidupan kita ini?

Apabila bertemu perintah Allah dengan tuntutan hawa nafsu kita, yang mana satukah kita korbankan?
Apabila datang perintah Allah SWT, dengan kepentingan peribadi kita, yang mana satukah yang kita
utamakan?
Bila datang perintah Allah SWT, dengan perintah selain daripada Allah SWT, yang mana satukah akan
kita taatkan?
Kita perhatikan kembali kehidupan kita. Kita perhatikan kembali rutin kita.
Apa?
Aidiladha sudah tiba. Dan kamu lihatlah apa yang telah kamu korbankan?

Penutup: Yang berkorban itu, Allah bayar

Mengambil 'ending' kisah Keluarga Ibrahim tadi, Allah membayar segala pengorbanan keluarga itu dengan
kemuliaan dan darjat yang tinggi tidak terhingga. Allah membalas ketaatan hamba-hambaNya, dan
bukan membiarkan mereka begitu sahaja.

Di sini, ia merupakan satu motivasi buat kita, bahawa mengorbankan kepentingan diri dalam mentaati
Allah SWT itu bukanlah sia-sia.

Panas sedikit, rimas sedikit pakai tudung, bukan sia-sia. Lagi labuh, lagi Allah suka.

Nampak kuno sikit, berpakaian kemas dan tidak koyak-koyak, dedah-dedah, bukan sia-sia.

Korban masa sikit, untuk buat amal kebaikan dan amal bermanfaat, bukan sia-sia.

Buat baik pada orang, walaupun orang tak baik pada kita, bukan sia-sia.

Korban wang, sedekah pada yang memerlukan, bukan sia-sia.

Mereka yang mengorbankan nyawa, dalam menegakkan agama Allah SWT, bukan sia-sia.

Itulah keimanan kita.

Kita belajar daripada keluarga Ibrahim AS.
Namun siapakah yang memerhatikan?

Dan yang memerhati, siapakah yang mempraktiskannya?
Aidiladha semakin hampir.
Apakah tahap kesediaan berkorban untuk Allah kita?