Barangsiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka cegahlah dengan lisan, jika tidak mampu, maka cegahlah dengan hati, sesungguhnya ia(mencegah dengan hati) selemah-lemah iman
Kita lihat bahawa, membenci kemungkaran itu adalah sebahagian dari iman. Selemah-lemah iman adalah meletakkan kebencian kepada kemungkaran itu di dalam hati. Membenci kemungkaran, pengingkaran kepada Allah adalah tanda kewujudan iman.
Tetapi, bagaimana agaknya, apabila kita tiada rasa benci kepada kemungkaran?
Kalau membenci dengan hati adalah selemah-lemah iman, maka bagaimana pula dengan hati yang tidak membenci, malah menyukai pula perbuatan mungkar kepada Allah?
Namun hari ini, kita lihat sekeliling kehidupan kita. Kita dapat lihat pelbagai keingkaran berlaku, baik di dalam diri kita, keluarga kita, mahupun masyarakat sekeliling kita. Bagaimanakah reaksi, tindak balas kita?
Alah, biasa la orang tak pakai tudung
Semua orang rasuah, aku rasuah la
Bohong tu perkara kecil je
Hari ni, semua orang tinggal solat. Tak ada apa-apa lah
Kenapa kata-kata begitu boleh keluar?
Sebab itu adalah suasana biasa. Biasa sehingga kita merasakan tidak lagi salah dalam kehidupan kita. Sebab itu kita tidak kisah kalau kita bangun lewat subuh, kita tidak kisah kalau kita tidak membaca Al-Quran sehari, kita tidak kisah kalau kita tengok perempuan tak tutup aurat, atau lelaki yang tidak menjaga kemaluannya, kita lali dengan kes-kes jenayah dan kejatuhan moral masyarakat serta pelbagai lagi masalah di dalam kehidupan kita ini.
Bila perasaan biasa ini melekat dalam jiwa, kita tidak akan mampu mengubah keadaan itu. Pada kita, itu keadaan biasa, buat apa nak kecoh-kecoh.
Sebenarnya, kita perlu letakkan dalam minda kita, satu neraca. Neraca itu tidak kita ambil daripada kebiasaan manusia hari ini. Tetapi, neraca itu kita ambil daripada Allah SWT, arahanNya, kesukaaanNya, laranganNya dan kebencianNya. Maka, pada neraca Allah, sebarang pengingkaran adalah perkara yang tidak boleh dianggap ringan, biasa.
Dengan perasaan tidak biasa dengan pengingkaran inilah, kita bergerak untuk merubah suasana keingkaran, pelanggaran kepada sistem Allah ini kepada suasana biasa yang sebenar, yakni ketaatan kepadaNya. Macam sebuah bilik yang kotor. Kalau kita rasa biasa dengan kekotoran bilik itu, maka kita tidak akan bergerak untuk membersihkannya. Begitulah sebaliknya.
Perasaan biasa kepada kemungkaran adalah masalah yang besar. Itu tandanya iman kita telah terkoyak, punah ranah, sehingga hati tidak rasa apa-apa dengan pembelakangan hukum-hukum Allah.
Sebab itu, berbalik pada hadith tadi, kita melihat betapa wujudnya kaitan iman dengan sensitiviti hati
kita terhadap hukum-hukum Allah SWT.
Bagaimana kita boleh merasakan biasa jika hukum Allah dipijak-pijak?
Bagaimana kita boleh duduk tenang bila keluarga kita menuju ke neraka Allah?
Bagaimana kita boleh berlapang-lapang apabila melihat masyarakat meninggalkan sistem Allah?
Sebab itu, bagi kita yang ada kesedaran, yang ada sedikit kekuatan, cubalah meluaskan syu ur kebenaran ini kepada sesiapa yang kita mampu, kita didik manusia di sekeliling kita/yang mampu kita capai agar mereka faham akan makna ketaatan kepada Allah, kita usaha memberikan kefahaman dan kesedaran akan hal ini kepada sesiapa yang kita mampu.
Sama-samalah kita muhasabah akan perkara ini.
Takut-takut dalam jiwa kita, kita merasakan pengingkaran kepada Allah itu adalah biasa
Jika benar, ketahuilah bahawa hati kita sedang sakit sebenarnya, iman kita sedang melemah.
artikel oleh Nazratul Wahidah binti Yatim Selamat
0 comments:
Catat Ulasan